Monday 13 December 2010

Sejarah Sekolah

SEJARAH PENUBUHAN SEKOLAH



Sekolah Kebangsaan Rantau Petronas, adalah sebuah sekolah yang sebelum ini dikenali sebagai Sekolah Rantau Petronas. Penubuhan Kompleks PETRONAS pada awal tahun 1980 dengan secara tidak langsung telah menyediakan prasarana sosial bagi kemudahan dan kegunaan staf dalam industri petroleum yang terlibat dengan aktiviti carigali petroleum di persisiran luar pantai Terengganu.

Pembinaan sekolah ini bermula pada pertengahan tahun 1984 dan telah siap sepenuhnya pada Januari 1986. Pada peringkat awal penubuhannya, kompleks sekolah ini akan dijadikan sebagai sebuah sekolah antarabangsa khasnya untuk anak-anak kakitangan ‘expatriate’ Esso Production Malaysia Industry (EPMI) dan Petronas yang bekerja di sekitar Pekan Kerteh, Kemaman. Berikutan daripada Program Malaysianisasi, Kerajaan Malaysia dalam industri petroleum, bilangan pegawai-pegawai dan kakitangan ‘expatriate’ telah berkurangan pada tahun 1986. Ini menyebabkan kehilangan anak-anak ‘expatriate’ yang dijangka akan memasuki sekolah tersebut. Pihak PETRONAS dan EPMI telah bersetuju mewujudkan sebuah sekolah harian biasa yang boleh menampung tempat belajar anak-anak kakitangan mereka sahaja. Kedua-dua pihak telah bersetuju untuk sama-sama membiayai kos pengurusan sekolah tersebut yang meliputi pengambilan anak-anak kakitangan ke sekolah ini mengikut kemampuan fizikal sekolah.


Setelah siap sepenuhnya pada Januari 1986, kompleks ini terpaksa dibiarkan kosong selama 16 bulan sehingga pertengahan tahun 1987. Dengan persetujuan pihak PETRONAS dan EPMI, tapak sekolah seluas 27.9 ekar mula beroperasi pada 1 Julai 1987. Pengurusan sekolah ini telah diletakkan di bawah sebuah Lembaga Pengurusan atau Pengelola Sekolah yang terdiri daripada tiga orang wakil PETRONAS, tiga orang wakil PPMT, dan tiga orang daripada Kementerian Pelajaran Malaysia. Pengetua bertindak sebagai Setiausaha. Suratcara Pengurusan atau Pengelola Sekolah ini telah dipersetujui oleh YB. Menteri Pelajaran Malaysia (KP:5195/43/B(10) pada 28 Februari 1987. Dengan kelulusan tersebut, Sekolah Rantau Petronas mula beroperasi dengan seorang pengetua sebagai Pengurus Sekolah dan dibantu oleh dua orang Penolong Kanan Rendah dan Menengah sebagai penyelia-penyelia kurikulum sementara tugas-tugas pentadbiran kewangan yang dibantu oleh seorang pegawai kewangan sekolah yang mendapat peruntukan terus dari PETRONAS diuruskan oleh seorang Pendaftar yang dibantu oleh seorang pegawai kewangan sekolah. Staf akademik sekolah telah dipohon daripada Kementerian Pelajaran Malaysia secara pinjaman bagi tempoh tiga tahun dan boleh dilanjutkan sehingga lima tahun. Kumpulan printis terdiri daripada 26 tenaga pengajar menengah dan rendah serta 11 orang kakitangan bukan akademik.

Pada 1 Januari 1999 dengan secara rasminya, pihak PETRONAS telah menyerahkan sekolah ini secara ‘Lock Stock & Barrel’ kepada Kementerian Pelajaran Malaysia. Maka pada tarikh yang sama bermulalah era baru bagi sekolah ini iaitu dari sebuah sekolah swasta kepada sekolah bantuan penuh kerajaan Gred B. Sekolah ini telah di bahagikan kepada dua pentadbiran iaitu Sekolah Kebangsaan Rantau Petronas (SKRP) dan Sekolah Menengah Kebangsaan Rantau Petronas (SMKRP). Kumpulan kakitangan pertama bagi SKRP adalah seramai 42 tenaga pengajar dan seorang kakitangan sokongan dengan enrolmen seramai 814 orang murid. Pihak PETRONAS juga telah mengekalkan 2 orang kakitangannya sehingga akhir tahun 1999 bagi membantu tugas-tugas am pentadbiran pejabat sekolah. Dalam tahun 2003 SKRP dinaikkan ke Gred A.

No comments:

Post a Comment